KUALA LUMPUR, 7 Ogos - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru agar generasi baharu bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan teknikal, malah teguh dari segi akidah serta berteraskan nilai-nilai al-Quran.
Tegasnya, pembangunan negara bukan hanya tertumpu kepada aspek fizikal dan teknologi semata-mata, sebaliknya memerlukan pembinaan insan yang seimbang dari segi rohani dan intelektual.
“Saya percaya bahawa perubahan besar tidak berlaku hanya dengan niat yang baik. Ia menuntut sistem yang terancang, strategi yang realistik, dan iltizam dari hati yang ikhlas,
“Benar, dalam membina masa depan negara, kita perlukan pembangunan fizikal, teknologi, dan infrastruktur yang kukuh. Tetapi lebih utama daripada itu, kita mesti membina insan yang seimbang, berakar pada nilai, dan teguh akidahnya.Kita perlukan generasi Qurani yang cemerlang di dunia dan sejahtera di akhirat,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan telah menggerakkan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Huffaz, iaitu dengan pendekatan menggabungkan dua kekuatan utama hafazan al-Quran dan latihan teknikal dalam usaha melahirkan generasi muslim profesional yang cemerlang duniawi dan sejahtera ukhrawi.
"Alhamdulillah, hasilnya luar biasa, Malaysia kini melahirkan ramai jurutera yang juga hafiz. Juruteknik yang juga mutaqqin. Pentadbir yang juga faqih,
"Inilah wajah profesional Muslim masa depan yang mampu menjadi jambatan antara tuntutan zaman dan tuntutan wahyu dan inilah perimbangan sebenar yang kita semua hasratkan bagi mengangkat martabat ummah membina tamadun baharu," jelas beliau ketika berucap merasmikan majlis World Quran Symposium 2025 yang bertemakan Membumi Qurani, Mendepani Tamadun’ di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.
Datuk Seri Ahmad Zahid turut menjelaskan, program berkenaan bukan sekadar medan ilmiah yang menghimpunkan tokoh cendekiawan, malah ia adalah langkah strategik bagi memperkukuh posisi Malaysia sebagai peneraju wacana Islam global.
"Malaysia hari ini tampil sebagai jambatan menyatukan warisan keilmuan dengan inovasi masa kini, sebagai pusat dialog Islam kontemporari yang berwibawa dan sebagai suara sederhana yang membawa prinsip di tengah kekeliruan dunia moden.
"Kehadiran ulama dan ilmuwan dari pelbagai penjuru dunia ke tanah air ini bukan hanya satu penghormatan, malah bukti Malaysia bukan sekadar sebahagian daripada peta tamadun Islam, tetapi sedang memimpin hala tuju masa depannya," katanya.
Beliau juga berharap simposium berkenaan tidak berakhir di atas pentas dan kertas saja, tetapi menjadikan ia sebagai titik tolak kepada satu gerakan pemikiran Qurani yang segar, menjadi pemangkin dasar negara dan menyatukan tekad untuk membina Malaysia di atas landasan nilai-nilai wahyu.
"Saya menyeru kepada semua pemimpin, ulama, penjawat awam, aktivis masyarakat dan seluruh rakyat kembalilah kepada Al-Quran. Jadikan ia sebagai kompas yang memandu arah, cermin yang menilai diri, dan tiang utama dalam mendirikan tamadun bangsa," katanya.
World Quran Symposium 2025 dianjurkan sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Kali Ke-65, bertujuan memperkukuh kefahaman dan penghayatan masyarakat terhadap nilai-nilai Qurani.
Sekali gus, menggalakkan umat Islam menjadikan prinsip kebaikan yang terkandung dalam al-Quran sebagai pedoman dalam kehidupan seharian.
Simposium tersebut menghimpunkan lebih 1,500 peserta yang terdiri daripada tokoh-tokoh cendekiawan, penjawat awam dan aktivis masyarakat.
Antara pengisiannya ialah ucaptama khas oleh Imam Masjid Nabawi, Sheikh Dr. Salah Muhammad Al-Budair yang membentangkan tajuk “Membumi Qurani, Mendepani Tamadun”, selain sesi Perkongsian Eksekutif oleh Sheikh Dr. Muhammad Abdul Hakim al-Kandi dari India, yang mengetengahkan model pembudayaan nilai-nilai Qurani dalam pembinaan tamadun.##