KUALA LUMPUR, 7 Ogos - Lima perkara utama dipersetujui antara Thailand dengan Kemboja bagi menoktahkan kemelut antara dua negara berkenaan.
Kata sepakat dicapai dalam Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) yang dikelolakan oleh Malaysia di Wisma Perwira di sini.
Menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, semua pemimpin negara anggota ASEAN bersetuju supaya Malaysia terus memainkan peranan sebagai pengantara dalam menyelesaikan konflik sempadan antara Thailand dengan Kemboja menerusi mekanisme dua hala.
"Perbincangan yang diadakan hari ini mencerminkan persefahaman bersama bahawa gencatan senjata bukan sekadar satu jeda, tetapi satu janji. Janji untuk melindungi nyawa, menjunjung maruah dan mencegah penderitaan yang berterusan," katanya.
Antara persetujuan yang disepakati ialah memantau proses gencatan senjata yang ketat, membabitkan semua jenis serangan dan senjata.
Selain itu, sebarang pembangunan infrastruktur ketenteraan juga dilarang di kawasan sempadan.
Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menjadualkan Mesyuarat GBC seterusnya dalam tempoh sebulan selepas mesyuarat hari ini, dengan lokasi akan diputuskan kelak.
Perjanjian tersebut ditandatangani Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Nasional Kemboja, Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Nakphanit.
Dalam pada itu, kedua-dua ketua delegasi turut menzahirkan penghargaan atas peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN yang membantu memudah cara penyelesaian konflik di sempadan kedua-dua negara berkenaan.
Tegas Saifuddin, Malaysia kekal komited untuk menerajui usaha damai serta memberikan bantuan yang diperlukan oleh dua negara tersebut sebagai pemudah cara rundingan, membina keyakinan dan menyokong mekanisme praktikal bagi pemantauan gencatan senjata.