fb fb fb fb fb

ECRL capai 86.07 peratus, dijangka siap Disember 2026

Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 7 Ogos - Projek infrastruktur mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencatat kemajuan memberangsangkan, iaitu pada 86.07 peratus kemajuan.

Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi MRL Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, MRL yakin jajaran ECRL Fasa 1 dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dapat disiapkan menjelang Disember 2026 dan mula beroperasi pada Januari 2027.

"Insya-Allah, dengan izin-Nya, semua perancangan ini dapat direalisasikan, rakyat dan negara dapat manfaat atas kemudahan perjalanan dan limpahan ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyempurnaan Ekosistem Kewangan ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) 360 Darjah RHB-MRL di sini.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Pengerusi RHB Banking Group Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir dan Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Mengenai perkembangan Seksyen D (Jalan Kastam ke Westport dan Northport), MRL mengesahkan bahawa projek tersebut sedang berjalan lancar.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, ia telah dimuktamadkan menerusi perjanjian yang ditandatangani antara MRL dan China Communications Construction Company (CCC) sebagai kontraktor utama.

"SS7 ini melibatkan jajaran sepanjang 25 kilometer dan akan menempatkan pembinaan meter gauge dan standard gauge secara serentak sehingga ke Northport dan Westport," jelas beliau.

Bagaimanapun, stesen terakhir ECRL secara rasmi terletak di Jalan Kastam, sambungan ke pelabuhan-pelabuhan utama itu dilihat penting bagi melengkapkan rangkaian logistik negara dari Kota Bharu hingga ke Kuantan Port dan seterusnya ke Pelabuhan Klang.

Pembinaan jajaran Seksyen D itu adalah sebahagian daripada kontrak Infrastructure Procurement and Construction Contract (IPCC) yang telah ditandatangani pada November 2016, membuktikan kesinambungan pelaksanaan projek ECRL mengikut jadual dan perancangan asal.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI