fb fb fb fb fb

AS puji Malaysia, hargai peranan sebagai pendamai Kemboja-Thailand

Edgard D. Kagan

KUALA LUMPUR, 7 Ogos - Kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dalam usaha mendamaikan Thailand dan Kemboja mendapat pujian daripada Amerika Syarikat (AS), susulan Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) yang diadakan di ibu negara hari ini.

Duta Besar AS ke Malaysia Edgard D. Kagan berkata, mesyuarat tersebut merupakan langkah penting dan mencerminkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam menggalakkan keamanan dan kepimpinan proaktif.

"Apa yang kita saksikan hari ini adalah satu langkah penting, iaitu wakil kanan dari kedua-dua belah pihak telah bertemu dan memperbaharui komitmen terhadap perjanjian gencatan senjata.

"Saya melihat ini sebagai satu lagi contoh Malaysia memainkan peranan selaku Pengerusi ASEAN dalam usaha menyatukan kedua-dua pihak, dan saya rasa semua pihak amat menghargai kepimpinan yang telah ditunjukkan Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir sebagai pemerhati pada Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) yang diadakan di ibu negara.

Tambahnya lagi, AS menyokong kuat peranan Malaysia dalam ASEAN dan sedang bekerjasama rapat dengan negara ini untuk membangunkan mekanisme jangka panjang bagi memastikan gencatan senjata terus dipatuhi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI