fb fb fb fb fb

PM harap Malaysia raih pingat emas pertama Sukan Olimpik 2028

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua kanan) sempat berbual bersama atlet badminton negara selepas menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan Olympic House di ibu negara/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan harapan tinggi agar Malaysia berjaya meraih pingat emas pertama dalam Sukan Olimpik 2028.

Menurut beliau, di bawah kepimpinan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria, impian untuk menyaksikan Jalur Gemilang berkibar megah di podium tertinggi itu kini semakin diyakini mampu dicapai.

“Sudah tentu kita mahu kecemerlangan. Semua orang sedang menunggu. Di bawah Hannah dan kini bersama Norza (Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria), kita harapkan sekurang-kurangnya satu pingat emas. Kalau tidak, kita masih terus berjuang,” katanya dalam ucapan penuh semangat pada majlis pecah tanah Olympic House, ibu pejabat baharu MOM, di sini hari ini.

Tambahnya, kejayaan dalam sukan bukan hanya tentang pencapaian pingat semata-mata, tetapi juga simbol kepada perpaduan rakyat Malaysia.

Perdana Menteri turut mengimbas kembali bagaimana sukan telah lama menjadi kuasa penyatuan rakyat, terutama dalam waktu-waktu mencabar dalam sejarah negara yang menyaksikan hubungan antara kaum sedikit terganggu.

“Ingat lagi, kita pernah lalui zaman sukar. Tapi bila melibatkan sukan bola sepak, badminton semua rakyat bersatu menyokong pasukan negara. Tak kira Melayu, Cina, India, Dayak, kita semua bersorak bersama sebagai rakyat Malaysia,” ujarnya.

Tegas Anwar, beliau amat komited menyokong pembangunan sukan negara kerana percaya sukan bukan sahaja mengangkat nama Malaysia, tetapi juga menyatukan seluruh rakyat di bawah satu semangat kebangsaan.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN