KUALA LUMPUR, 4 November -Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2026 pada peringkat dasar selepas dibahaskan bermula dari 13 Oktober lepas.
Rang undang-undang yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 10 Oktober itu diluluskan menerusi undi belah bahagian yang menyaksikan 120 Ahli Parlimen bersetuju, 67 tidak bersetuju dan 35 tidak hadir.
Menurut takwim Parlimen, perbahasan RUU itu bagi peringkat jawatankuasa akan bermula esok hingga 27 November ini.
Belanjawan 2026 merupakan belanjawan keempat bawah Kerajaan MADANI dan yang pertama di bawah kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Belanjawan bertemakan "Belanjawan Rakyat" itu memperuntukkan RM470 bilion perbelanjaan awam merangkumi RM338.2 bilion perbelanjaan mengurus dan RM81 bilion pembangunan.
Ia selain pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (RM30 bilion), awam swasta (RM10 bilion) serta badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (RM10.8 bilion).