(Kecergasan fizikal anggota bomba penting bagi menjaga kualiti
perkhidmatan kepada masyarakat/FOTO Syamimi Saripan)
SHAH ALAM, 4 September - Kemunculan sekumpulan anggota bomba bertubuh sasa pada Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pada 31 Ogos lalu, telah mencuri tumpuan rakyat Malaysia.
Video mempamerkan aksi mereka di atas aset darat milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membangkitkan keterujaan orang ramai yang hadir dan masih tular di media sosial.
Dengan tubuh badan persis ‘Badang’, ramai tertanya-tanya, adakah mereka memiliki peranan khusus dalam pasukan keselamatan berkenaan?
Dalam temubual bersama RTM, Timbalan Penguasa Bomba Yusaimi Zulkifli berkata mereka sebenarnya sebahagian ahli Kelab Bina Badan JBPM yang ditubuhkan pada 2010.
"Objektif utamanya, membudayakan amalan gaya hidup sihat meliputi penjagaan tubuh badan dan pemakanan selain untuk mengekalkan tahap kecergasan jasmani pegawai.
"Semua pegawai perlu menjalani ujian kecekapan fizikal individu.
"Peralatan untuk operasi menyelamat sahaja berat sebanyak 80 kilogram... nak angkat tangga lagi jadi amat memerlukan kekuatan fizikal selain menjaga imej anggota," ujarnya.
Tambahnya lagi, sehingga kini lebih 70 anggota dan pegawai JBPM telah menjadi ahli kelab itu yang bermula sekadar hobi kemudiannya berkembang aktif dalam kejohanan bina badan.
Salah seorang anggota yang terlibat, Syazwan Zakaria menyifatkan memiliki badan sasa dan besar memudahkan untuknya terlibat dalam operasi menyelamat pada bila-bila masa sahaja.
"Sebenarnya lagi mudah untuk melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan," katanya kepada RTM.
('Sado' bukan sebarang sado, abang bomba menyelamatkan nyawa dan harta benda/FOTO Syamimi Saripan)
Akhir kata, Syazwan menitipkan ucapan terima kasih atas sokongan ramai dan turut terharu selain dapat membanggakan nama jabatan.
Memiliki tubuh sasa bukan untuk tujuan menunjuk, namun realitinya selain kekuatan stamina, daya tahan tubuh badan anggota dan pegawai juga dituntut dalam melaksanakan tugasan.
Mereka dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan khidmat kemanusiaan termasuk perlindungan nyawa dan harta semasa berlakunya apa-apa bencana.
Sejak minggu lalu, tular video memaparkan sebilangan anggota bomba di media sosial sempena Perarakan Hari Kemerdekaan ke-65 yang berlangsung penuh warna warni di Dataran Merdeka pada Rabu lepas.
Kemunculan 19 anggota bomba yang menaiki jentera sambil menunjuk otot biceps menyebabkan netizen menggelar mereka sebagai abang bomba 'sado'.
Laporan Syamimi Saripan.