fb fb fb fb fb

Sindiket minyak diesel tumpas

KUANTAN, 4 September- Polis berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan diesel bersubsidi selepas menahan 16 orang suspek serta merampas diesel dan pelbagai barangan bernilai lebih setengah juta dalam satu serbuan di kawasan Perindustrian Semambu di sini semalam.

Menurut Pemangku Ketua Polis Pahang, Dato Abd Razak Mohd Yusoff menerusi kenyataan yang dikeluarkan, kira-kira 19,400 liter diesel dirampas dalam serbuan di sebuah stor simpanan haram.

Sindiket penyelewengan bahan bakar itu melibatkan rampasan bernilai RM41,710.

Risikan dan intipan telah dilaksanakan selama tujuh hari oleh pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Batalion 7 PGA sebelum berjaya menahan sebuah lori yang dinaiki oleh dua orang lelaki, di kawasan perindustrian terbabit.


(Tangki petak berisi minyak diesel yang berjaya dirampas dalam satu serbuan oleh pihak polis dan KPDNHEP di kawasan Perindustrian Semambu, di sini)

Hasil pemeriksaan, pihaknya menemui dua tangki yang mengandungi minyak diesel sebanyak 1,800 liter dan suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan bahan tersebut.

Dengan dipandu arah oleh kedua-dua suspek ke stor simpanan itu, pihak polis bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, berjaya menahan 14 orang termasuk pemilik stor berkenaan.

Dalam serbuan itu, turut dirampas sembilan kenderaan pelbagai jenis termasuk tiga jenis lori, dua set penyedut minyak, 4 tangki kosong, satu unit generator elektrik dan 16 unit telefon bimbit pelbagai jenis termasuk 81 keping resit pembelian minyak diesel dari pelbagai stesen minyak.

Nilai keseluruhan rampasan berjumlah, RM582,550.

Hasil soal siasat juga, pemilik stor yang juga warga tempatan, gagal mengemukakan permit dan lesen yang sah bagi penyimpanan barang kawalan.

16 warga tempatan berusia antara 18 hingga 65 tahun itu ditahan dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.


Media Baharu