fb fb fb fb fb

Isu kos sara hidup, pelaksanaan MLFF dan tarif timbal balik antara tumpuan Dewan Rakyat

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Ogos - Usaha kerajaan menurunkan kos sara hidup rakyat, pelaksanaan Multi Lane Free Flow (MLFF) serta isu tarif timbal balik Amerika Syarikat kepada Malaysia antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) pada sesi soal jawab meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan tindakan kerajaan menerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dalam usaha menurunkan kos sara hidup rakyat.

Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) pula mengajukan soalan kepada Menteri Kerja Raya berhubung status pelaksanaan sistem kutipan tol MLFF menjelang 2025, selain ingin tahu langkah penambahbaikan sistem seperti Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) bagi memastikan keberkesanan sistem baharu tersebut.

Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) pula membangkitkan soalan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri status dan keberkesanan rundingan antara kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat berkenaan pelaksanaan tarif timbal balik serta jaminan kerajaan supaya ia tidak akan menjejaskan perdagangan, rantaian bekalan dan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.

Yeo Bee Yin (PH-Puchong) pula meminta Menteri Belia dan Sukan menyatakan penambahbaikan utama yang telah dibawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) dan usul-usul penting yang telah dikemukakan oleh belia serta usaha KBS dalam mengetengahkan usul berkenaan kepada kerajaan.

Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) pula bertanyakan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenai sama ada kementerian menyediakan peruntukan khas kepada kerajaan negeri atau agensi berkaitan bagi mengurus sisa pepejal dan membersihkan kawasan pembuangan sampah haram di luar kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Usai sesi berkenaan, persidangan Dewan Rakyat akan menyambung semula sesi perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lepas.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 24 hari hingga 28 Ogos.- BERNAMA

ROSLINA BINTI DIN