fb fb fb fb fb

Pendokumentasian biodiversiti hutan, lindungi khazanah negara

Foto FB Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia

KUALA NERUS, 6 Ogos - Usaha pendokumentasian biodiversiti hutan negara melalui program penyelidikan, pemuliharaan dan penggunaan sumber hutan secara lestari menjadi hala tuju penting selaras dengan Dasar Perhutanan Negara 2021 yang menjadi kerangka penting untuk melindungi masa depan khazanah negara yang masih banyak belum diterokai.

Oleh itu, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) menganjurkan Persidangan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan 2025, yang berlangsung selama tiga hari di sini.

Persidangan tersebut menghimpunkan pelbagai pemegang taruh, termasuk penyelidik dan pembuat dasar, dan menyaksikan pembentangan sebanyak 57 kertas kerja yang merangkumi pelbagai elemen seperti ekosistem hutan, flora, fauna, ekopelancongan, rekreasi, ekologi, geologi, arkeologi serta sosioekonomi.

Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Zahari Ibrahim berkata, ia penting bagi membolehkan pihak berkaitan memprioritikan biodiversiti yang perlu dipelihara, diurus dan dikawal daripada pelbagai ancaman.

"Persidangan ini amat penting kerana ia menyediakan maklumat yang bernilai, dan kepentingan biodiversiti itu sendiri harus dihebahkan kepada masyarakat, penggubal dasar, pembuat polisi, dan pihak berkepentingan lain," katanya.

Turut dibentangkan ialah hasil penemuan kajian baharu daripada empat ekspedisi saintifik yang telah dilaksanakan di Hutan Simpan Hulu Terengganu, Terengganu; Hutan Simpan Gunung Arong, Mersing, Johor; Gunung Nuang di Hutan Simpan Ulu Langat, Selangor; dan Hutan Simpan Bukit Jernih, Perlis.

Majlis itu yang turut diadakan sempena sambutan Jubli Perak 25 Tahun Penganjuran Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan juga menyaksikan penyampaian 13 anugerah sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada para penyelidik serta warga perhutanan yang terlibat secara langsung.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM