KUCHING, 6 Ogos - Bekas wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak, Irwan Budi Annuar, 51 tahun, menghembuskan nafas terakhir akibat barah paru-paru, malam ini.
Allahyarham Irwan meninggal dunia di rumahnya dekat Taman Sourabaya Indah, Petrajaya, Kuching, sekitar pukul 8 malam.
Perkara tersebut dimaklumkan isteri beliau Siti Ratnawati Bustaman kepada RTM di kediamannya.
Jenazah Allahyarham akan diuruskan di masjid Taman Sukma sebelum dikebumikan selepas solat zohor esok di Tanah Perkuburan Islam Semariang.
Beliau telah bertarung dengan kanser paru-paru dan sakit buah pinggang sejak 2021 semasa di bertugas di Stesen RTM Limbang.
Allahyarham Irwan, mula berkhidmat di RTM sejak 2005 dan pernah bertugas sebagai penyampai radio, pemberita serta pengelola bahagian.
Beliau meninggalkan seorang balu dan tiga anak lelaki.