fb fb fb fb fb

Malaysia kecam rancangan Israel ambil alih Gaza sepenuhnya

Keadaan kemusnahan di Gaza berikutan serangan dilakukan rejim Zionis Israel/ REUTERS

KUALA LUMPUR, 6 Ogos - Malaysia mengecam sekeras-kerasnya keputusan terbaharu rejim Zionis Israel untuk melancarkan pengambilalihan sepenuhnya Gaza secara ketenteraan, sambil menyeru semua negara menolak secara mutlak dasar aparteid Israel.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, rancangan tidak berhati perut itu menunjukkan niat jelas rejim Zionis untuk terus menduduki wilayah Palestin secara kekal, yang bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, malah memperlekeh prinsip asas hak asasi manusia dan keadilan.

"Selepas 22 bulan pengeboman tanpa henti, kepungan, dan pemindahan paksa lebih 90 peratus penduduk Gaza, tindakan ini bertujuan menamatkan penyelesaian dua negara.

"Sekiranya Israel terus dibenarkan bertindak sewenang-wenangnya, segala proses damai akan terkubur dan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri akan sekali lagi dinafikan," menurut kenyataan itu.

Malaysia menyeru semua negara agar menolak secara tegas dasar aparteid Israel dan mengambil tindakan segera serta konkrit untuk mengiktiraf negara Palestin berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

"Malaysia juga menggesa semua negara untuk memastikan pelaksanaan gencatan senjata kekal, pengunduran sepenuhnya pasukan rejim Zionis Israel dari Gaza, penamatan segera semua sekatan terhadap akses bantuan kemanusiaan, serta memastikan kemasukan bantuan tanpa halangan dan keanggotaan penuh negara Palestin sebagai anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB)," tambah kenyataan itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI