BERA, 17 April - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyelar tindakan pengendali syarikat penerbangan yang menaikkan kadar tambang kapal terbang ke Sabah dan Sarawak pada musim perayaan ini.
Ismail Sabri mengingatkan agar pengendali syarikat penerbangan tidak mengambil keuntungan secara berlebihan dengan menaikkan harga tiket ke Pulau Borneo itu.
Malah beliau menyifatkan harga tiket yang dikatakan naik sehingga 500 peratus pada musim perayaan itu sebagai agak melampau kerana rakyat tidak mempunyai alternatif untuk ke pulang ke negeri-negeri berkenaan selain dengan menaiki kapal terbang.
"Kalau tiket penerbangan tinggi ke Kedah, Pulau Pinang... mereka boleh lagi naik kereta kerana ada alternatif lain.
"Tapi, kalau tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak naik harga...nak naik apa? Takkan hendak naik kereta balik ke Sabah.
"Saya difahamkan harga sama mahal macam pergi ke London," katanya, semasa berucap merasmikan pasar raya MG CoopMart dan Jualan Murah Semarak Ramadan Keluarga Malaysia Parlimen Bera di Bera di sini hari ini.
(FOTO fail)
Prihatin dengan keluhan rakyat, perdana menteri telah meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk meneliti jika berlaku perlanggaran di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 berhubung kenaikan harga itu.
"KPDNHEP perlu tegas terhadap mana-mana pihak, tidak kira syarikat besar atau kecil yang mengambil untung berlebihan di bawah AKHAP... tindakan segera perlu diambil untuk menjaga kepentingan rakyat.
"Kita tidak akan membiarkan peniaga mengambil kesempatan pada waktu (sambutan) Hari Raya atau puasa untuk memberi tekanan kepada rakyat," katanya lagi.
Ismail turut meminta Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mencari jalan penyelesaian bersama dengan pengendali syarikat penerbangan bagi mengurangkan harga tiket.
"Saya difahamkan pertemuan dengan pihak-pihak terlibat telah berlangsung," katanya.
Pada 10 April lalu, media melaporkan tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak membebankan warga kedua-dua negeri berkenaan.
Isu tersebut menjadi perbualan hangat apabila laman web syarikat penerbangan komersial baru-baru ini memaparkan tambang penerbangan melonjak sehingga RM2,000 bagi penerbangan pergi balik menjelang tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri (29 April hingga 8 Mei).