fb fb fb fb fb

Malaysia mahu dunia perbaharui tekad selesai konflik Israel-Palestin

(Polis Israel melepaskan gas pemedih mata semasa pertempuran terhadap umat Islam Palestin di Masjid Al-Aqsa pada Jumaat/FOTO AFP)

KUALA LUMPUR, 16 April - Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Israel ke atas penduduk awam dan jemaah Palestin di Masjid Al-Aqsa, awal pagi semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata serangan yang berlaku ke atas salah sebuah masjid paling suci bagi umat Islam dan dalam bulan Ramadan yang mulia ini menunjukkan keganasan berlanjutan dan dasar aparteid yang diamalkan oleh tentera penjajah Israel terhadap hak-hak asasi, kehidupan, kesejahteraan serta maruah rakyat Palestin.

"Malaysia amat bimbang susulan peningkatan keganasan di wilayah Palestin yang diduduki Israel.

"Mendasari hal ini, Malaysia meminta masyarakat antarabangsa memperbaharui tekad bagi mencari penyelesaian terhadap konflik Israel-Palestin yang berpanjangan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata Malaysia juga akan terus bekerjasama rapat dengan masyarakat antarabangsa bagi mencari keamanan dan keadilan bagi rakyat Palestin selain kemakmuran di rantau Timur Tengah.

(Ismail Sabri/FOTO PMO)

Dalam kenyataan itu, Perdana Menteri turut menegaskan sokongan Malaysia terhadap rakyat Palestin tidak berbelah bahagi untuk menubuhkan sebuah negara Palestin merdeka.

"Pada masa yang sama, Malaysia juga menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dan perjuangan mereka bagi mendapatkan kemerdekaan daripada pendudukan haram Israel.

"Seterusnya merealisasikan aspirasi untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 dan Baitulmuqaddis sebagai ibu kotanya," katanya.

Media Baharu