fb fb fb fb fb

Tiga termasuk suami isteri maut kemalangan di Kedah

Keadaan motor yang terlibat kemalangan dan salah seorang mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian

PENDANG, 27 Disember- Tiga maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Alor Pudak-Titi Haji Idris di sini Kedah, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Penguasa Polis (SP) Rodzi Abu Hassan berkata antara mangsa yang maut termasuk suami isteri berusia 34 dan 52 tahun serta seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun.

Rodzi berkata kemalangan itu melibatkan sebuah kereta dan dua buah motosikal.

Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku sekitar pukul 11.20 malam apabila pemandu kereta berusia 31 tahun sedang memandu dari arah Ayer Hitam menghala ke Sungai Tiang, Pendang.

Ketika tiba di tempat kejadian, pelajar yang menunggang motosikal telah memotong kereta tersebut di sebelah kanan jalan lalu bertembung dengan motosikal yang ditunggang suami isteri dari arah bertentangan.

Akibat perlanggaran itu, pembonceng motosikal yang bekerja sebagai pembantu kedai makan tercampak ke lorong kanan dan dilanggar oleh kereta berkenaan yang sedang bergerak lurus.

Kesemua penunggang dan pembonceng disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga.

SITI AISHAH MD ISA