KUALA LUMPUR, 27 Disember- Penyedia platform media sosial diminta segera mendaftar lesen perkhidmatan masing-masing menjelang penguatkuasaan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi pada 1 Januari ini.
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, tarikh akhir mengemukakan permohonan tersebut adalah sebelum atau pada 31 Disember.
"Kita nak ucap terima kasih kepada Tencent dan juga kepada Telegram, Tencent memiliki WeChat kerana sudi bekerjasama dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia).
"Saya harap platform-platform yang lain juga akan mengikuti langkah mereka kerana kalau mereka berhasrat untuk memberi perkhidmatan di Malaysia," katanya selepas mengunjungi pelakon veteran Sathia Periasamy pada Program Ziarah Seni MADANI Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) di Setapak Jaya, di sini.
Terdahulu, MCMC memaklumkan keperluan pelesenan yang berkuat kuasa mulai 1 Januari itu, bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna, dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial.
Ia dirangka untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang dipercayai dan selamat dengan menyeru penyedia perkhidmatan agar melindungi pengguna, khususnya kanak-kanak serta golongan rentan.
Kegagalan mengemukakan permohonan boleh menyebabkan tindakan pengawalseliaan diambil walaupun ia perkara yang mahu dielakkan semua pihak.
BERITA BERKAITAN: