KANGAR, 26 November -Jalan utama dan View Point Wang Kelian dekat Padang Besar ditutup sementara sejak 7.00 malam tadi.
Penutupan dibuat atas faktor keselamatan berikutan cuaca buruk, struktur jalan tidak stabil dan kejadian tanah runtuh.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, ACP Mohd Shokri Abdullah berkata, keputusan itu dicapai selepas penilaian risiko di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) UniMAP Sungai Chuchuh.
“Penutupan ini sehingga Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan laluan itu kembali stabil, sesuai dan selamat digunakan.
Keselamatan pengguna menjadi keutamaan kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau memaklumkan, sesi libat urus itu turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Polis bersama agensi keselamatan kini melakukan pemantauan 24 jam di kawasan terjejas.