CYBERJAYA, 26 Disember- Telegram dan Tencent (WeChat) telah memulakan proses pelesenan di Malaysia.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memuji komitmen Telegram dan Tencent untuk mematuhi keperluan pelesenan tersebut.
Kedua-dua platform itu dijangka memenuhi syarat yang diperlukan untuk beroperasi di Malaysia dalam masa terdekat.
"Keperluan pelesenan yang berkuat kuasa mulai 1 Januari ini bertujuan untuk meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna, dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial.
"Kerangka ini dirangka untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang dipercayai dan selamat dengan menyeru penyedia perkhidmatan agar melindungi pengguna, khususnya kanak-kanak dan golongan rentan," menurut kenyataan itu.
MCMC mengingatkan semua penyedia perkhidmatan yang memenuhi syarat pelesenan agar mengemukakan permohonan mereka dengan segera sebelum tarikh akhir pada 31 Disember ini.
Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan pengawalseliaan diambil walaupun ianya adalah perkara yang mahu dielakkan oleh semua pihak.