KUALA LUMPUR, 26 Disember- Projek Dream Forest Langkawi berjaya mengetengahkan keunikan Pulau Langkawi dengan berkesan, di samping memaparkan legenda dan mitos tempatan yang menjadi sebahagian penting daripada warisan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berharap lebih banyak inisiatif sebegitu diwujudkan dan disemarakkan bagi memantapkan sektor pelancongan negara.
Projek itu juga berperanan dalam menghidupkan minat terhadap mitos, legenda, dan sejarah tanah air.
"Saya sangat kagum dengan bakat kreatif yang ditonjolkan di Dream Forest Langkawi.
"Saya juga telah menghubungi Tan Sri Fendi dan Puan Sri Tiara untuk menyampaikan penghargaan atas usaha hebat mereka dalam menjayakan inisiatif ini.
"Langkawi tidak hanya sebuah pulau yang indah, tetapi ia penuh dengan kisah dan warisan yang patut ditelaah dan digarap generasi kini dan akan datang.
"Saya usulkan supaya juga ditambah dengan memberi gambaran hala tuju Langkawi dan teknologi baharu," katanya menerusi perkongsian di Facebook.