fb fb fb fb fb

Tiga pesuruhjaya kehakiman baharu angkat sumpah

Tiga Pesuruhjaya Kehakiman (JC) yang baharu dilantik dari kiri Hamid, Ratanah dan Steve

KOTA KINABALU, 30 September - Tiga Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi yang baharu mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Hajah Azizah Haji Nawawi hari ini.

Surat pelantikan disampaikan oleh Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Utama Wan Ahmad Farid Wan Salleh kepada Hamid Ismail, Steve Ritikos dan Ratanah Devi Yusof Perumal.

Turut hadir Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais serta Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim.

Hamid merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa, memulakan kerjaya sebagai peguam pada 2001 sebelum menubuhkan firma sendiri pada 2004.

Beliau pernah mewakili ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir dalam prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu itu.

Sementara itu, Steve Ritikos dari Sarawak memulakan kerjaya sebagai Majistret di Mahkamah Kuala Lumpur pada 1991 dan pernah berkhidmat di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Kuching serta sebagai Hakim Mahkamah Sesyen.

Pada 2021 beliau dilantik sebagai Pengarah Mahkamah Negeri Sarawak.

Ratana Devi pula berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang guaman dan membuka firma sendiri pada 2018 selepas berkhidmat di beberapa firma guaman sejak 2001.

GRACE AISYAH KEDAYAN