PUTRAJAYA, 30 September - Harga subsidi BUDI95 yang ditetapkan pada kadar RM1.99 seliter disifatkan sebagai langkah besar kerajaan dalam membantu rakyat, khususnya bagi anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata inisiatif itu mampu meringankan beban kos sara hidup harian anggota serta keluarga mereka.
“Ini adalah bentuk sumbangan besar kerajaan yang amat dihargai dan memberi kesan langsung kepada anggota Maritim serta keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang berlangsung hari ini.
Mohd Rosli menegaskan kepimpinan melalui teladan perlu diamalkan oleh semua lapisan pegawai Maritim Malaysia, khususnya di peringkat pengurusan kanan.
“Kepimpinan bukan soal keistimewaan, sebaliknya amanah yang menuntut keberanian, kejujuran dan teladan yang baik. Dari situlah lahir pasukan yang diyakini,” ujarnya.