KUALA LUMPUR, 24 Julai – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menzahirkan rasa dukacita atas tragedi kemalangan jalan raya yang meragut nyawa tiga pelajar Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi, dalam insiden yang berlaku di Kilometer 262, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Khamis lalu.
Kemalangan itu turut melibatkan sembilan lagi pelajar KPTM yang mengalami kecederaan, manakala tiga pelajar lain tidak mengalami sebarang kecederaan. Seorang pelajar dari German-Malaysian Institute (GMI) Kajang pula dilaporkan cedera ringan dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.
Proses bedah siasat bagi ketiga-tiga mangsa yang terkorban telah diselesaikan di Hospital Rembau, Negeri Sembilan. Jenazah Allahyarham Haris Azib Sulaiman dikebumikan di Sepang, Afkar Fitri Affendi di Alor Gajah, Melaka, manakala Aliff Syahmi Abdul Hakim di Gombak, Selangor.
Sementara itu, MARA dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, pihaknya tidak terlibat langsung dalam sebarang penganjuran konvoi yang melibatkan para pelajar tersebut. Aktiviti konvoi itu dikenal pasti sebagai inisiatif peribadi yang dirancang oleh pelajar-pelajar secara santai melalui perbincangan dalam kumpulan WhatsApp, tanpa penglibatan rasmi pihak institusi atau MARA.
Terdahulu, kejadian para pelajar dipercayai mula berkumpul sekitar pukul 11.30 malam pada 23 Julai di beberapa lokasi termasuk Seksyen 15 Bangi dan Bangi Gateway, sebelum bergerak ke Restoran Uncle Red di Seremban.
Perjalanan pulang ke Bangi dan Kuala Lumpur yang bermula sekitar pukul 2.00 pagi menyaksikan dua insiden kemalangan berasingan.
Kemalangan pertama dipercayai berlaku akibat sebuah motosikal hilang kawalan, menyebabkan pergeseran sesama penunggang hingga mengakibatkan kematian. Manakala, kemalangan kedua pula membabitkan pelajar yang cuba memotong sebuah lori, tetapi gagal mengesan sebuah kereta yang berhenti di hadapan lori tersebut, lalu merempuhnya.
Rakaman litar tertutp (CCTV) telah diperoleh pihak polis, namun belum boleh didedahkan kerana siasatan masih berjalan.
Sebagai langkah segera, MARA melalui pengurusan KPTM telah menyalurkan sumbangan khairat kematian sebanyak RM1,500 kepada waris setiap pelajar yang terkorban. Tuntutan takaful kemalangan dan kematian bernilai sehingga RM38,000 turut sedang diuruskan, tertakluk kepada terma syarikat takaful.
MARA turut menyeru orang ramai agar memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh dan profesional serta komited untuk terus bekerjasama dengan institusi pendidikan dan agensi berkaitan dalam memastikan tindakan susulan yang bertanggungjawab dan berperikemanusiaan.
