fb fb fb fb fb

4,352 jawatan tetap, suntik semangat petugas kesihatan

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Julai - Kementerian Kesihatan menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung pengisian 4,352 jawatan tetap dalam sektor kesihatan, disifatkan sebagai satu kemenangan besar buat petugas kesihatan terutama golongan kontrak.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata keputusan itu amat bermakna buat petugas barisan hadapan yang telah lama berkhidmat di bawah skim kontrak, dan memberi suntikan moral yang amat diperlukan dalam perkhidmatan awam kesihatan.

"Kementerian Kesihatan sangat bersyukur menerima peruntukan untuk pengisian 4,352 jawatan tetap.

"Malah, kita baru sahaja menerima surat rasmi daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) berkenaan pelaksanaan ini," katanya pada sidang media selepas melancarkan Malaysia Year of Medical Tourism 2026, di sini hari ini.

Menurut Datuk Seri Dr Dzulkefly, pelaksanaan jawatan tetap ini adalah antara perkara yang telah lama diperjuangkan demi menjaga kebajikan dan masa depan petugas kesihatan yang masih berstatus kontrak.

"Peralihan daripada contract for service kepada contract of service, dan akhirnya ke jawatan tetap merupakan satu bentuk insentif besar untuk mengekalkan mereka dalam sektor awam,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa proses pelantikan tetap ini akan dilaksanakan segera dengan kerjasama rapat antara Kementerian Kesihatan, SPA dan agensi berkaitan.

"Ini bukan sahaja soal penjawatan tetap, tetapi satu bentuk pengiktirafan terhadap sumbangan besar petugas kesihatan kita selama ini,' katanya lagi.

Datuk Seri Dr Dzulkefly memberi jaminan proses ini dilaksanakan secara telus, cepat dan menyeluruh tanpa kelewatan yang boleh menjejaskan semangat petugas terlibat.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI