fb fb fb fb fb

Penghargaan buat rakyat, mampu rangsang ekonomi domestik

Pelbagai insentif yang diumumkan Perdana Menteri berpotensi merangsang pertumbuhan ekonomi domestik

KUALA LUMPUR, 24 Julai - Pelbagai insentif yang diumumkan Perdana Menteri berpotensi merangsang pertumbuhan ekonomi domestik melalui peningkatan perbelanjaan pengguna, khususnya dalam kalangan golongan M40.

Pakar ekonomi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, langkah kerajaan mengekalkan subsidi RON95 sambil beralih kepada subsidi bersasar menggambarkan dasar fiskal negara kini lebih tersusun, berdisiplin dan telus.

2407 NSL REAX  DR AHMED RAZMAN INSENTIF PM 1Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff

Menurutnya, ia sekali gus memperkukuh keyakinan pelabur asing dan menunjukkan kerajaan serius dalam menangani ketirisan, pembaziran dan rasuah.

"Kalau kita lihat apabila kerajaan melakukan subsidi bersasar untuk RON95, dijangka akan berlaku penjimatan minimum RM7.5 atau RM8 bilion setahun.

"Penjimatan itu boleh digunakan kerajaan untuk meningkatkan bantuan kepada mereka memerlukan dan tidak perlu ada hasil tambahan atau memotong mana-mana perbelanjaan lain," katanya.

2307 NSL PM RON 95Harga RON95 diturunkan kepada RM1.99 seliter beri kelegaan kewangan kepada golongan M40

Beliau berkata, apabila harga RON95 diturunkan kepada RM1.99 seliter dan kadar tol dikekalkan, golongan M40 akan mendapat kelegaan kewangan.

Ia boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kualiti hidup serta memperkukuh perbelanjaan berhemah.

2307 NSL PM SARAPemberian RM100 secara sekali beri langkah awal kepada konsep pendapatan asas sejagat

Menurutnya, pemberian RM100 secara sekali beri di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas secara automatik pula, adalah langkah awal kepada konsep pendapatan asas sejagat (universal basic income) yang telah diamalkan di beberapa negara maju.

“Ini pertama kali kita ada mekanisme bantuan bersifat umum yang boleh dinikmati semua, tidak kira B40, M40 atau T20. Ia boleh menjadi platform jangka panjang untuk bantuan berulang mengikut keperluan semasa,” katanya.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK