KUALA LUMPUR, 24 Julai - Malaysia bakal memperkukuh kedudukan sebagai destinasi utama pelancongan kesihatan serantau menerusi pelancaran Malaysia Year of Medical Tourism (MYMT) 2026.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata inisiatif ini bertujuan melonjakkan industri pelancongan kesihatan negara ke tahap lebih tinggi dengan mengetengahkan perkhidmatan rawatan bertaraf dunia, termasuk nilai tambah dalam perubatan tradisional dan komplementari.
"MYMT 2026 sangat penting untuk mengangkat agenda pelancongan kesihatan negara kerana Malaysia kini tersenarai dalam 10 destinasi terbaik dunia dalam sektor ini, seperti yang diiktiraf oleh platform Nomad Capitalist baru-baru ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran MYMT 2026, yang turut dihadiri wakil Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) dan finalis Flagship Medical Tourism Centre (FMTC).
Menurut Datuk Seri Dr Dzulkefly, antara kekuatan utama Malaysia dalam sektor ini ialah kualiti rawatan yang tinggi, kos rawatan yang berpatutan, akses kesihatan yang mudah, serta sistem perkhidmatan berasaskan kepercayaan dan belas ihsan.
Mengulas kebimbangan industri berhubung pelaksanaan Cukai Perkhidmatan (SST) sebanyak enam peratus ke atas pesakit asing, beliau mengakui ia mungkin memberi sedikit kesan, namun menegaskan Malaysia masih mengekalkan daya saing serantau.
"Walaupun ada sedikit cabaran akibat SST, daya saing dan daya tahan sektor pelancongan kesihatan kita kekal tinggi," ujarnya.
Menurut beliau, pasaran pelancongan kesihatan Malaysia kini didominasi oleh pesakit dari Indonesia, India dan China dan Kementerian Kesihatan bercadang untuk memperluas pasaran ke negara-negara lain.
"Kita yakin pertumbuhan industri ini akan terus berkembang dan tidak lagi hanya tertumpu kepada tiga negara utama.
"Usaha sedang giat dijalankan untuk menarik minat pasaran baharu," katanya.
MYMT 2026 juga dijangka menampilkan kepelbagaian penawaran rawatan, termasuk gabungan rawatan moden dan integratif seperti perubatan tradisional dan komplementari, yang memberi nilai tambah kepada pelancong kesihatan.
Ketika ditanya jumlah pelancong kesihatan yang tiba pada separuh pertama tahun ini, Datuk Seri Dr Dzulkefly memaklumkan angka rasmi masih dalam proses semakan dan akan diumumkan kelak.