fb fb fb fb fb

Tiga mayat mangsa bot karam diserahkan kepada waris keluarga

Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 7 Jun- Proses bedah siasat ketiga-tiga mangsa kejadian bot karam di Tanjung Harapan, Klang selesai dan telah diserahkan kepada keluarga masing-masing bagi urusan pengebumian.

Terdahulu, keluarga mangsa hadir ke Unit Perubatan Forensik, Hospital Shah Alam untuk proses pengecaman dan tuntutan mayat.

Mangsa pertama, Cheu Son Hin, 50-tahun dibawa keluar dari pusat perubatan itu kira-kira pukul 1.20 tengah hari dan dibawa ke kediamannya di Taman Aman Perdana, Klang untuk urusan pengebumian. Sementara mayat Fong Yong Sen, 29-tahun, diserah kepada keluarga sekitar pukul 3.15 petang dan dibawa ke rumah pengembumian di Pandamaran.

Mayat terakhir yang dibawa keluar dikenal pasti sebagai Darren Gan, 3-tahun, iaitu anak kepada pasangan suami isteri Gan Hon Tat, 32 dan isterinya Careen Man, 29 yang masih belum ditemukan. Darren dituntut waris pada pukul 4.20 petang untuk dibawa ke Pusat Pengembumian Xin Fu Xing.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, tiga individu termasuk seorang kanak-kanak maut, manakala sepasang suami isteri masih hilang apabila bot dinaiki mereka terbalik di perairan Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang.

Seorang lagi mangsa Chang Yan Qin Alvin, 17, berjaya diselamatkan oleh nelayan. Usaha mencari dan menyelamat baki dua lagi mangsa yang hilang diteruskan.

SITI NOORAIN ABDULLAH