KUCHING, 7 Jun- Kerajaan akan mengadakan pertemuan dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan berhubung cadangan pemberhentian lebih 5,000 kakitangan syarikat berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pertemuan itu penting bagi meneliti secara terperinci pelan rasionalisasi yang sedang dipertimbangkan oleh syarikat minyak nasional tersebut.
Ini termasuk memastikan kebajikan pekerja diberi keutamaan.
"Sebab itu PETRONAS perlu melihat semula keseluruhan operasinya. Saya sedang merancang mengadakan pertemuan dengan mereka untuk mendapatkan taklimat mengenai perkara itu dan bagi memastikan jumlah pemberhentian pekerja dapat dikurangkan, jika tidak dapat dielakkan," katanya.
Menurut beliau, kerajaan memahami situasi semasa yang sedang dihadapi syarikat itu dengan penurunan harga minyak global ketika ini.
Beliau menegaskan isu tersebut bukan berpunca daripada faktor dalaman atau pengurusan syarikat, tetapi merupakan kesan daripada senario global.
Datuk Seri Fadillah ditemui selepas merasmikan Majlis Ibadah Korban di Masjid Taman Hussien Kampung Sungai Laruh Petra Jaya, dekat sini.
Semalam, media melaporkan PETRONAS akan mengurangkan kira-kira 10 peratus daripada tenaga kerjanya atau lebih 5,000 orang susulan penstrukturan semula syarikat secara menyeluruh.