LENGGONG, 6 April – Tiga lelaki, termasuk seorang warganegara Indonesia, maut dipercayai akibat lemas dalam sebuah lubang pembentung di tapak pembinaan resort di Kampung Ibol, Sumpitan di sini, pagi tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, maklumat mengenai kejadian diterima pada pukul 10.08 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong digerakkan ke lokasi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata kejadian melibatkan tujuh mangsa yang terperangkap di dalam lubang pembentung semasa melakukan kerja-kerja pembersihan di tapak pembinaan tersebut.
“Lima mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum dihantar ke klinik berdekatan untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dua lagi mangsa yang terperangkap di dalam lubang tersebut berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba, namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kedua-dua mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 29 dan 37 tahun.
Manakala, seorang lagi mangsa iaitu warganegara Indonesia turut disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di hospital.
Mayat kesemua mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.