fb fb fb fb fb

SARA bantu rangsang pertumbuhan ekonomi domestik

Foto hiasan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 April- Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diterima individu yang layak bermula 1 April lalu, dijangka dapat membantu merangsang pertumbuhan ekonomi domestik negara.

Menurut Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Teknologi Mara, UiTM, Dr Bashir Ahmad Shabir Ahmad, sumbangan itu dapat menampung perbelanjaan golongan yang memerlukan.

Beliau turut menyifatkan pendekatan kerajaan menyalurkan SARA menerusi penggunaan MyKad, sebagai kaedah mengenal pasti golongan sasar, merupakan pendekatan ideal, buat masa ini. 

"Di mana dengan pengemaskinian terhadap sistem Pangkalan Data Utama (PADU), golongan yang betul-betul layak dan juga dikenal pasti dapat menerima bantuan dengan lebih adil. Pada masa sama, ianya bertujuan memastikan tiada golongan rakyat yang tercicir dalam mendapatkan bantuan ini pada masa akan datang", katanya kepada RTM.

Selain itu, langkah kerajaan menyalurkan sumbangan berkenaan menjelang Hari Raya Aidilfitri, adalah langkah tepat kerana berupaya membantu mereka yang layak untuk membuat persiapan hari raya.

Kerajaan MADANI mengumumkan peluasan SARA kepada 5.4 juta penerima bermula 1 April, meningkat hampir lapan kali ganda daripada penerima sedia ada.

Penerima yang layak akan menerima bantuan sehingga RM2,100, meningkat 75 peratus berbanding 2024.

Penyaluran SARA melalui MyKad akan diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, membolehkan penerima membeli barangan keperluan asas di lebih 3,500 kedai runcit berdaftar.

ROSLINA BINTI DIN