KUALA LUMPUR, 6 April – Bertugas ketika umat Islam di seluruh negara menyambut Hari Raya Aidilfitri menjadi satu bentuk pengorbanan yang besar buat anak-anak kapal SAPURA 1200, yang terpaksa berjauhan daripada keluarga tercinta demi menunaikan tanggungjawab di perairan luar pesisir.
Situasi itu bukanlah sesuatu yang asing bagi mereka, malah sudah menjadi kebiasaan saban tahun, menyambut lebaran bersama rakan setugas dengan suasana sederhana namun penuh makna.
Menurut Campboss SAPURA, Syed Ekabalshah S. Abd Rahman, perasaan rindu kepada keluarga terutama isteri dan anak-anak tidak dapat dielakkan, namun keutamaan tetap diberikan kepada amanah kerja yang digalas.
“Bila berjauhan dengan keluarga, itu adalah asam garam kehidupan seorang sifera atau pekerja luar pesisir. Sama ada kita mahu atau tidak, kita tetap perlu hadapinya,” katanya.
Bagi memeriahkan suasana Aidilfitri di perantauan, anak-anak kapal telah mengadakan solat sunat Aidilfitri secara berjemaah sebelum menikmati pelbagai juadah tradisional yang disediakan di atas kapal.
Jurutera Pertama SAPURA, Muhammad Ridzuan Mamat berkata walaupun berada jauh dari tanah air, suasana lebaran tetap dirasai kerana kemeriahan sambutan dikongsi bersama semua kru Muslim dari Malaysia.
“Walaupun kami berada di tengah laut, suasana itu masih terasa. Solat raya tetap dilakukan bersama dan makanan yang biasa kita nikmati di rumah pun turut dihidangkan di sini,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pertama SAPURA, Mohd Fahmi Mansor menjelaskan tradisi sambutan Aidilfitri tetap diteruskan seperti di darat, termasuk dengan penganjuran solat sunat dan jamuan hari raya.
“Walaupun kami di atas kapal, kami masih mengekalkan ciri-ciri sambutan hari raya seperti di rumah, lengkap dengan solat sunat dan jamuan bersama kru,” katanya.
Penyelaras Pengurusan Anak Kapal SAPURA, Nur Shafiqah Ahmad Yusmin turut melahirkan rasa teruja kerana dapat menyambut hari raya bersama pasukan yang sanggup berkorban masa bersama keluarga demi memenuhi tuntutan kerjaya.
“Saya teruja kerana dapat menyambut raya bersama pasukan saya yang sanggup berkorban masa dengan keluarga untuk hadir bertugas dan melaksanakan tanggungjawab mereka,” ujarnya.