NIBONG TEBAL, 6 April- Pulau Pinang akan mengambil pendekatan lebih berhemah berhubung tarif baharu yang dikenakan Amerika Syarikat.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat berhubung isu itu untuk disalurkan kepada Perdana Menteri dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Pada peringkat awal kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan pemain industri dalam sektor berkaitan.
"Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pembangunan Ekonomi, saya Exco bersama dengan Penang Institute akan menganjurkan satu sesi meja bulat, menjemput wakil-wakil dan persatuan dan industri untuk membincangkan isu-isu berkenaan.
"... Sebab ini masih dalam peringkat awal, banyak pihak telah mengemukakan kenyataan dan pandangan termasuk dari Perdana Menteri, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Menteri Kewangan II, semua menyuruh supaya kita bersabar untuk memahami dengan lebih teliti lagi", katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Peringkat KADUN Jawi 2025, Nibong Tebal.