BATU PAHAT, 6 April – Jumlah penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading di sini meningkat kepada 285 orang setakat pukul 4 petang tadi.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, PPS berkenaan kini menempatkan 94 keluarga dari Kampung Baharu, Batu Pahat, yang terjejas akibat banjir kilat.
PPS tersebut dibuka pada pukul 2 petang semalam berikutan hujan lebat yang menyebabkan air sungai melimpah dan menenggelamkan kawasan rendah di kampung terbabit.
Dalam perkembangan berkaitan, Sungai Senggarang mencatatkan paras amaran iaitu 3.36 meter, manakala Sungai Batu Pahat berada pada paras waspada dengan bacaan 2.30 meter.
Keadaan cuaca dan paras air sungai terus dipantau dari semasa ke semasa oleh pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan terjejas.