fb fb fb fb fb

Spekulasi insiden letupan gas Putra Heights ganggu siasatan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail / Foto Bernama

JITRA, 6 April – Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau spekulasi berhubung kejadian kebakaran dan letupan paip gas di kawasan perumahan Putra Heights, Subang Jaya yang berlaku pada Selasa lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sebarang kenyataan tanpa asas di media sosial atau mana-mana platform lain boleh mengganggu siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Oleh kerana insiden telah berlaku, semua pihak diseru untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, spekulasi atau apa-apa andaian. Buat masa sekarang, siasatan sedang berjalan dan saya diberi taklimat terkini dari semasa ke semasa oleh pasukan polis.

"Biarlah mereka lengkapkan siasatan dengan teliti termasuk usaha mengumpul bukti yang memerlukan disiplin siasatan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Daerah Kubang Pasu bersama Menteri Dalam Negeri yang berlangsung di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, di sini.

Mengulas lanjut, Saifuddin memaklumkan beberapa agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah turun padang bagi membantu penduduk yang terjejas.

“Setiap agensi akan membantu berdasarkan bidang tugas masing-masing dan ketika ini, proses mengumpul maklumat masih dijalankan bagi melancarkan urusan berkaitan penduduk terlibat,” ujarnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN