SUBANG JAYA, 6 April – Insiden letupan dan kebakaran gas di Putra Heights pada Selasa lalu masih belum boleh diklasifikasikan sebagai melibatkan sebarang unsur jenayah, menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan.
Beliau menjelaskan pihak polis masih lagi menjalankan siasatan dan setakat ini, 118 saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kejadian tersebut.
"Fokus sekarang adalah di tempat kejadian, bukan untuk mendedahkan siapa yang terlibat. Semuanya masih dalam siasatan. Kita belum mengklasifikasikan sebarang jenayah, sebab itu polis sedang menyiasat dengan teliti," katanya kepada pemberita semasa sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights, di sini hari ini.
Hussein turut menegaskan pihak berkuasa tidak boleh membuat sebarang dakwaan tanpa bukti yang jelas, dan siasatan masih berjalan dengan teliti.
Dalam sidang media yang sama, Hussien turut memaklumkan bahawa pihak Bomba mengesahkan 220 daripada 439 rumah di kawasan terjejas adalah selamat dan tidak terjejas.
Menurutnya, pihak bomba telah melakukan penilaian keselamatan rumah di radius yang lebih besar, iaitu 325 meter dari kawasan kejadian.
Sementara itu, sebanyak 219 rumah lagi terjejas dan tidak selamat diduduki.
"Daripada jumlah ini, 87 rumah mengalami kerosakan lebih daripada 20 peratus dan dikategorikan sebagai kerosakan besar. Manakala, 132 rumah lagi mengalami kerosakan kecil iaitu kurang daripada 20 peratus. Secara keseluruhan, 320 rumah selamat atau boleh diduduki walaupun terjejas," katanya.