fb fb fb fb fb

Tiga maut, empat cedera, kereta elak motosikal keluar simpang secara mengejut

LIPIS, 28 Januari - Tiga maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Kilometer 84, Jalan Lipis-Merapoh pada jam 2.30 petang semalam.

Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu seorang imam masjid, Wan Mohd Azizol Wan Daud, 35, dari arah Merapoh ke bandar Lipis terbabas ketika cuba mengelak sebuah motosikal yang tiba-tiba keluar dari simpang.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, kereta berkenaan hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri sebelum masuk ke laluan bertentangan dan dilanggar sebuah van syarikat keselamatan.

"Akibat kemalangan itu, dua penumpang belakang meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penumpang hadapan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lipis," kata beliau.

Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian ialah guru tadika Kemas, Mariam Ariffin, 41, dan Che Mazenah Hussin, 61, yang beralamat di Kuarters Klinik Kesihatan Merapoh.

Isteri pemandu, Rosnani Md Daud, 28, meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital.

Wan Mohd Azizol dan dua penumpang van cedera parah manakala pemandu van cedera ringan.

Mereka dirawat di Hospital Kuala Lipis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Media Baharu