LAHAD DATU, 2 Julai - Tiga lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler membawa muatan minyak sawit di Batu 16, Jalan Lahad Datu-Sandakan di sini malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata mangsa yang maut dikenal pasti sebagai pemandu (pacuan empat roda) Mohd Azizi, 28, serta penumpang hadapan Mohd Rasman Ahmat Kechil, 28, dan Muhammad Zulkhairi Ismail, 29, yang duduk dibahagian belakang.
"Kesemua mangsa tersepit dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan pasukan bomba, sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
"Pemandu treler lelaki berusia 61 tahun mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sumsoa berkata pihaknya menerima panggilan melalui MERS999 berhubung kemalangan itu pada 8.52 malam dan sepasukan 12 anggota bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan bergegas ke lokasi sejauh 30 kilometer dari balai bomba berkenaan.
Operasi menyelamat ditamatkan pada 12.40 tengah malam. - BERNAMA