JITRA, 2 Julai - Pemilik dusun buah-buahan di sekitar daerah Kubang Pasu, Kedah, melakukan persediaan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan ketika berlakunya Monsun Barat Daya (MBD).
Di Kampung Carok Jambu, di sini, pemilik dusun turut menyimpan bekalan air yang secukupnya bagi menampung keperluan semasa. Ketika ini, mereka hanya mengharapkan bekalan air dari anak sungai berdekatan, air bukit serta hujan untuk menyiram tanaman mereka seperti durian, manggis, langsat, dan rambutan.
Pengalaman ketika menghadapi fenomena El Nino suatu ketika dulu sedikit sebanyak digunakan bagi memastikan pokok-pokok terutamanya yang baru ditanam terus tumbuh dengan segar.
"Sekiranya air sungai berkurangan kami akan cuba cari alternatif lain seperti mengorek kolam tadahan bagi menyimpan air. Berkaitan air, pokok durian paling sensitif, pokok lain seperti cempedak, dokong dan rambutan, insya-Allah," jelas Pemilik Dusun Kampung Carok Jambu, Norhazam Alias.
Sementara itu seorang lagi pekebun, Mohd Yazid Abd Rahman berharap, setiap pemilik dusun mengunakan sumber air sungai demgan sebaiknya.
"Kita minta setiap pengusaha atau pekebun supaya menjaga sungai sebaiknya kerana ia satu-satunya sumber air yang kita ada untuk penyiraman, elakkan daripada berlaku pencemaran," katanya.
Dalam pada itu, pemilik dusun turut menggesa beberapa kemudahan termasuk bekalan air terawat dan baik pulih jalan yang rosak dapat dilakukan oleh pihak bertanggungjawab. Ini bagi memberi keselesaan kepada penduduk setempat dan orang ramai yang berkunjung ke kawasan berkenaan.
"Selain bekalan elektrik dan jalan, bekalan air juga amat penting bagi kami, saya harap pihak Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) dapat bantu kami membina tangki air di sini, menurut Saidin Dogol.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, beberapa kawasan di utara dan pedalaman di Semenanjung Malaysia dijangka mengalami suhu mencecah hingga 37 darjah Celsius pada musim MBD yang sedang melanda negara sehingga September ini.
Ia susulan kawasan berkenaan lebih terdedah kepada sinaran matahari. Lokasi berkenaan dijangka mencapai suhu tertinggi sekitar Julai dan Ogos ini.