fb fb fb fb fb

Polis buru empat suspek bakar lima kenderaan

Foto FB Polis Daerah Kuala Langat

SHAH ALAM, 2 Julai - Polis giat mengesan empat lelaki disyaki terlibat membakar lima kenderaan mewah dalam kejadian di Bandar Tropicana Aman, Bandar Saujana Putra, Kuala Langat semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memaklumkan terdapat kebakaran kenderaan pada 6.45 pagi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemilik kenderaan seorang lelaki yang ketika kejadian mangsa dan keluarganya tiada di rumah.

“Siasatan mendapati empat suspek lelaki membakar kereta milik mangsa dan polis kini giat mengesan suspek terlibat.

“Kes disiasat bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, iaitu khianat menggunakan api yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akmalrizal berkata insiden itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian lebih kurang RM1.6 juta, termasuk kerosakan pada bahagian hadapan rumah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar dilaporkan berkata, kejadian itu menyebabkan lima kenderaan yang diletakkan di hadapan rumah teres dua tingkat terbakar 90 peratus.

Beliau berkata kebakaran turut melibatkan bahagian hadapan dua rumah teres, anggaran lima hingga 10 peratus. - BERNAMA

MASNIZA AWANG KECHIK