fb fb fb fb fb

Penyelidik UM hasilkan serum antipenuaan daripada sisa cengkerang

Kejayaan itu sekali gus menjadikan UM merangkul pingat emas pada Persidangan Serantau Pelbagai Bidang dalam Sains dan Teknologi (MRCST 2025) anjuran UKM

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Siapa sangka sisa cengkerang yang lazimnya berakhir di tapak pelupusan, kini menjadi asas kepada serum antipenuaan premium hasil inovasi penyelidik Universiti Malaya (UM).

Kejayaan itu sekali gus menjadikan UM merangkul pingat emas pada Persidangan Serantau Pelbagai Bidang dalam Sains dan Teknologi (MRCST 2025) anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.

Inovasi dikenali sebagai Claméa itu diterajui oleh pelajar tahun akhir program Kimia, Farisha Nur Jannah Muhamad bersama dua lagi rakan penyelidik iaitu Aneesa Zuraimy dan pelajar pascasiswazah, Chong Jing Xuan, di bawah seliaan Dr. Azman Ma’amor (Jabatan Kimia, Fakulti Sains, UM), Dr. Syazreen Nadia Sulaiman (Bahagian Kimia, PASUM), dan Dr. Muhamad Afiq Aziz (Institut Sains Biologi, UM).

Projek bertajuk “Skincare Formulation and Innovation from Clamshell as Natural Sources: Characterization, Biocompatibility, and Market Opportunity” itu memberi tumpuan kepada isu pencemaran sisa cengkerang laut lazimnya dilupuskan ke tapak pelupusan diinovasikan kepada bahan bernilai tinggi dalam industri kosmetik.

“Hasil sisa ini diproses menjadi hydroxyapatite (HAp), sejenis mineral semula jadi yang terbukti merangsang penghasilan kolagen, mengurangkan garis halus dan memulihkan kandungan mineral kulit,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Tambah kenyataan itu, melalui kaedah pembersihan, pengkalsinan dan sintesis kimia, pasukan penyelidik berjaya menghasilkan partikel HAp bersaiz antara 150 hingga 300 nanometer serta merumuskan serum berasaskan pH 5.5 yang sesuai untuk kegunaan kulit.

"Ujian in vitro turut menunjukkan serum tersebut adalah selamat, serasi dengan kulit, dan berkesan sebagai rawatan anti-penuaan, tanpa mengganggu keseimbangan flora semula jadi kulit," katanya.

Menurut Dr. Syazreen Nadia, kejayaan ini mencerminkan potensi besar inovasi berasaskan penyelidikan yang digerakkan oleh pelajar dalam menghasilkan penyelesaian lestari yang praktikal dan berimpak tinggi.

Kata Syazreen, produk yang dihasilkan juga mendapat kelulusan terkini daripada Suruhanjaya Kesatuan Eropah (EU) bagi penggunaan kosmetik selain dikomersialkan peringkat global.

MRCST 2025 yang berlangsung pada 21 Jun lalu menghimpunkan penyelidik pelbagai bidang STEM dalam usaha menyokong agenda kelestarian dan inovasi global.

MRCST 2025 mengangkat tema “Sains dan Teknologi sebagai Kuasa Inovatif ke Arah Masa Depan”.

GRACE AISYAH KEDAYAN