fb fb fb fb fb

Penglibatan & inisiatif strategik UPM perkasa agenda keterjaminan makanan

Datuk Profesor Dr. Ahmad Farhan

KUALA LUMPUR, 2 Julai - Agenda keterjaminan makanan negara terus diperkasa melalui penglibatan dan inisiatif strategik yang dilaksanakan Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi pengaplikasian teknologi, inovasi, penyelidikan dan pembangunan modal insan.

Naib Canselor UPM, Datuk Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, universiti itu komited memacu agenda tersebut selain menggalas peranan memperkukuh ekosistem pertanian negara.

Namun beliau berpandangan antara cabaran utama dalam sektor pertanian negara berikutan kurangnya minat generasi muda untuk menceburi bidang tersebut.

"Teknologi ini amat penting untuk pertanian tetapi oleh kerana keadaan sekarang petani-petani adalah golongan yang yang senior. Jadi, mereka agak sukar untuk menggunakan teknologi.

"Kita memerlukan golongan muda untuk menggunakan teknologi baru. Jadi ia merupakan satu kaedah dalam pertanian. Kita juga ingin mengatakan bahawa sains juga penting di sebalik pertanian hari ini. Ini juga satu cabaran kerana kita tahu minat kepada Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) makin berkurang.

"Jadi kita ingin menggunakan pertanian sebagai ejen pengubah termasuk memupuk minat pelajar-pelajar terhadap pertanian. Kita merasakan mereka perlu diberi pendedahan tentang potensi teknologi pertanian dan juga perniagaan di dalam pertanian dan keterjaminan makanan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini.

Datuk Profesor Dr. Ahmad Farhan optimis penglibatan generasi muda disifatkan lebih celik teknologi sebagai mangkin dalam meningkatkan hasil pertanian negara.

Ia sekali gus, berupaya mentransformasikan sektor itu ke arah kemodenan teknologi serta memacu ekosistem agromakanan lebih kukuh.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI