fb fb fb fb fb

Tiga lelaki warga Bangladesh maut dilanggar komuter

Satu jentera bomba dengan lima anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang digerakkan ke lokasi kejadian/ Foto:JBPM Selangor

KUALA LUMPUR, 4 Mac - Tiga lelaki warga Bangladesh maut selepas dipercayai dirempuh komuter dalam insiden di landasan KTM Puncak Utama Jade Hill, malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada 10.53 malam.

Katanya satu jentera bomba dengan lima anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang digerakkan ke lokasi kejadian.

“Kesemua mangsa berumur lingkungan 30 hingga 40-an tidak tersepit namun tercampak ke sisi landasan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi tamat pada 12.15 pagi dan kes diserah kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

 

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI