fb fb fb fb fb

Anwar gesa masyarakat dunia hormat dan tolak ansur sesama agama, kaum

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto RTM

MELBOURNE, 4 Mac - Malaysia menggesa masyarakat dunia berbilang kaum dan agama untuk sentiasa menghormati dan bertolak ansur antara satu sama lain sebagai sebuah komuniti.

Mengambil contoh di Malaysia yang majoritinya beragama Islam, teras syariah perlu sentiasa dipertingkat dan diperkukuhkan memandangkan Islam merupakan Agama Persekutuan.

Beliau turut menyebut Australia sebagai negara contoh yang mana masyarakatnya masih mengamalkan budaya menghormati terutama terhadap komuniti Islam di negara itu.

Dalam masa sama menggesa masyarakat minoriti di Malaysia untuk memainkan peranan dengan berasimilasi sebagai sebahagian daripada masyarakat yang berbilang kaum.

“Kita selaku kerajaan amat menggesa agar masyarkat menghormati dan bertolak ansur di Malaysia kerana islam adalah Agama Persekutuan yang bermakna kita perlu mempertingkatkan dan mengukuhkan teras syariah untuk orang Islam.

“Tetapi pada masa sama, kami tetap memelihara dan memastikan kebajikan orang bukan Islam sama-sama dilindungi kerana mereka adalah warganegara yang sama di bawah undang-undang, begitu juga di Australia.

“Walaupun agama majoriti adalah Kristian tetapi mereka telah menunjukkan toleransi dan menghargai perbezaan, saya pernah ke Canberra, Sydney, Perth dan beberapa tempat di mana mereka juga mempunyai komuniti Islam dan institusi lain di sini terutamanya seperti Al-Taqwa yang telah diberi sokongan mencukupi,” katanya ketika berucap merasmikan Kompleks Sukan Al-Taqwa di Melbourne pada Isnin.

“Jadi ini adalah naratif baru yang perlu kita promosikan dalam semua komuniti. Kita perlu berkompromi dengan hakikat bahawa kita perlu mempertingkatkan semula iman dan nilai moral kita.

“Kita perlu berpegang teguh kepada kepercayaan dan perbuatan kita ini penting untuk mempromosikan keamanan, keselamatan dan keadilan”, ujarnya.

Untuk rekod, Anwar ke Australia sempena lawatan rasmi empat hari bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin Tahunan (ALM) Kedua Malaysia-Australia pada 4 Mac dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia dari 5 hingga 6 Mac di Melbourne.

Anwar akan mengakhiri lawatannya ke Australia di Canberra, untuk menyampaikan syarahan umum di Australian National University (ANU) dan bertemu Gabenor Jeneral Australia, David Hurley.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD