fb fb fb fb fb

Tiga lelaki dilepas dan dibebaskan tuduhan miliki, edar dadah

Mahkamah Tinggi Melaka melepas dan membebaskan tiga lelaki daripada pertuduhan memiliki dan mengedar dadah, tiga tahun lepas

AYER KEROH, 8 Mei- Tiga lelaki dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi Melaka atas pertuduhan memiliki dan mengedar dadah, tiga tahun lalu.

Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid melepas dan membebaskan Muhammad Abdul Rahman, 37, Mohd Fadzli Abd Razak, 44, dan Yusri Awang, 38, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Mohd Radzi dalam keputusannya di akhir pendakwaan berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan pemilikan dadah oleh ketiga-tiga tertuduh serta mereka mempunyai niat bersama untuk mengedar dadah.

Terdahulu, ketiga-tiga tertuduh yang bekerja sendiri, dituduh secara niat bersama mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 162.35 gram di tempat letak kenderaan di hadapan pejabat Jabatan pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Katil, pukul 1.55 tengah hari pada 1 Februari 2021.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39(B) akta dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Muhammad diwakili peguam Ramzani Idris dan Haresh Mahadevan, manakala Mohd Fadzli diwakili Asmawi Ismail dan Yusri diwakili Andrew Lourdes.

Sebanyak enam saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam kes tersebut.

SITI AISHAH MD ISA