fb fb fb fb fb

Tiga kriteria pilih calon PRN - Ahmad Zahid

KOTA BHARU, 15 Mac - Barisan Nasional (BN) akan memulakan penelitian terhadap calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di beberapa buah negeri, sebaik selesai proses pemilihan UMNO Sabtu ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penelitian tersebut akan di lakukan secara menyeluruh terutama melibatkan “winnability” (berpotensi menang), “acceptability' (dapat diterima) dan “likeability” (disenangi) calon yang akan bertanding.

"Saya akan lihat selepas 18 Mac siapa menang Ketua Bahagian dan kita juga akan teliti tokoh-tokoh yang menang dalam pemilihan Pemuda, Wanita dan Puteri.

"Dan ini adalah satu penilaian yang kita buat berdasarkan kepada 'winnability', 'likeability' dan 'acceptability', tiga perkara ini jadi kriteria utama," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pengenalan Calon Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Naib-naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi sempena Pemilihan UMNO sesi 2023-2026 peringkat negeri Kelantan, di sini hari ini.

(Ahmad Zahid ketika berucap pada
Majlis Pengenalan Calon Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Naib-naib Presidendan Ahli Majlis Tertinggi
sempena Pemilihan UMNO sesi 2023-2026 peringkat negeri Kelantan)

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut berharap barisan kepimpinan baharu yang dipilih pada pemiihan parti akan mengukuhkan lagi kekuatan UMNO, khususnya untuk berdepan PRN nanti.

Dengan slogan UMNO Bangkit 2.0, lima hala tuju baharu parti di gariskan dan didalamnya terdapat 21 langkah yang di susun bagi memastikan parti terus relevan.

Mengulas mengenai peluang UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menjadi pilihan pengundi pada PRN Kelantan nanti, Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri mahu rakyat negeri itu memberi peluang kepada parti serta gabungan itu untuk menyelesaikan beberapa perkara termasuk masalah air.

"Saya tidaklah terlalu pesimistik untuk mengatakan kita hanya menjadi pesaing tetapi kalau boleh menjadi kerajaan kenapa tidak?

"Bagi saya di Kelantan ini masalah air mesti diselesaikan, itu janji UMNO dan BN yang wajib diselesaikan," katanya.

Beliau berkata sekiranya UMNO dan BN menjadi pilihan, pihaknya akan tetap meneruskan dasar-dasar baik yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri ketika ini.

"Jadi dalam keadaan ini, pengundi Kelantan bagi UMNO menang sekali, kalau kita menang tetapi tidak berprestasi tukar balik kepada yang lama tidak apa tetapi cuba kami dulu dan insya-Allah kami akan buktikan bahawa kami lebih baik.

"Rakyat jangan dimangsakan dengan menikmati air keruh dan mengatakan bahawa itu adalah takdir Allah, jangan salahkan Allah.

"Kita mesti berusaha untuk memberikan air bersih kepada rakyat, beri maksimum kepada UMNO dan BN untuk kami buktikan beri air bersih yang boleh diminum kepada rakyat Kelantan jika diberi peluang oleh pengundi untuk membentuk kerajaan," katanya.

Media Baharu