SEREMBAN, 15 Mac - Mesin layan diri bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bakal diperluas ke seluruh kawasan yang strategik seperti di institusi pengajian tinggi (IPT), pejabat swasta dan hospital selewatnya menjelang akhir tahun ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata pihaknya sedang mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk menempatkan mesin itu serta sedang memproses permohonan peserta.
"Jadi dari segi kita kena padankan dan secara jadualnya antara penerima dengan juga kesediaan mesin itu dan kesediaan tempat. Cuma dalam tempoh dua minggu sebelum ini dan minggu akan datang. Kita sedang memuktamadkan seberapa banyak tempat di seluruh negara. Di Perak pun ada beberapa tempat rintis yang akan dilancarkan dalam tempoh beberapa minggu ini dan saya ingat dalam satu dua bulan ini dia akan dapat dibesarkan dengan skala yang lebih cepat," kata Rafizi, di sini.
(Rafizi bercakap kepada media selepas lawatan
ke tapak Mesin Layan Diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di Stesen Bas Terminal One)
Tambahnya setakat ini lebih 15,000 permohonan diterima dan 4,000 permohonan sudahpun memenuhi syarat yang telah ditetapkan.
Dalam pada itu, mesin layan diri yang ketiga bakal ditempatkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam pada 21 Mac ini.