fb fb fb fb fb

Kurangkan cuti, syarat kembalikan takwim persekolahan bermula Januari

PUTRAJAYA, 15 Mac- Pemindahan takwim permulaan sesi persekolahan kembali ke bulan Januari boleh dilaksanakan segera dengan syarat mengurangkan jumlah cuti sedia ada.

Bagaimanapun langkah itu dilihat akan mengganggu waktu rehat guru dan pelajar selain memberi kesan dari sudut ekonomi dan pelancongan.

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali, sebarang perubahan berkaitan takwim persekolahan perlu dilakukan mengikut Akta Pendidikan 1996.

Akta tersebut menetapkan jumlah minimum hari persekolahan mestilah tidak kurang daripada 190 hari bagi setiap takwim persekolahan.

"Kalau kita nak kembalikan semula kita perlu kekalkan 190 hari dan kita anjaklah sedikit demi sedikit. Mungkin dari segi matematik tuan-tuan boleh buat kiraan untuk potong di mana dan anjak berapa banyak.

"Jadi bukan satu perkara yang boleh dilaksanakan dalam tempoh singkat. Dia akan ambil beberapa tahun dengan pengorbanan semua pihak," kata Pkharuddin dalam sidang media selepas menyampaikan amanat pembukaan sesi persekolahan 2023/2024 di sini.

Tambah beliau pihaknya juga akan melakukan pertimbangan sewajarnya dan mengambil kira keselesaan semua pihak dalam menetapkan takwim persekolahan pada setiap tahun.

Sesi persekolahan 2023/2024 yang bermula 19 dan 20 Mac ini dilewatkan sedikit bagi memastikan pengoperasian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 berjalan lancar.

(Datuk Pkharuddin berkata pemindahan takwim permulaan sesi persekolahan kembali ke bulan
Januari boleh dilaksanakan segera dengan syarat mengurangkan jumlah cuti sedia ada)

Media Baharu