MANJUNG, 18 April- Tiga individu termasuk ibu kandung ditahan kerana disyaki mendera dan merogol seorang kanak-kanak berumur tujuh tahun.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, penahanan suspek berusia 26 hingga 40 tahun itu dibuat di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung.
Mangsa sebelum itu dibawa ke balai polis berkenaan oleh seorang lelaki selepas dijumpai dalam keadaan tidak terurus di tepi Jalan Batu 7, Segari Manjung pada pukul 11.50 pagi, semalam.
Hasil pemeriksaan di Hospital Manjung mendapati mangsa dipercayai telah dirogol dan didera serta terdapat kesan kecederaan lama dan baru pada badan kanak-kanak berkenaan.
Susulan itu, pihaknya menahan ibu kandung dan dua bapa tiri mangsa bagi membantu siasatan.
Ketiga-tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan direman sehingga 23 April depan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.
(Mohd Yusri Hassan Basri)