KUANTAN, 18 April- Kerajaan Persekutuan akan menambah peruntukan penyelenggaraan bagi tahun 2023 bagi mengatasi isu jalan rosak melibatkan jalan persekutuan di negeri-negeri.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, peruntukan sebelum ini adalah berjumlah RM750 juta akan segera ditambah kepada RM1 bilion, bagi kerja penyelenggaraan semua jalan persekutuan di seluruh negara.
Tambah Anwar, sebahagian daripada peruntukan tambahan bagi kerja penyelenggaraan itu akan diagihkan kepada kerajaan negeri Pahang bagi mengatasi masalah jalan berlubang yang rosak akibat banjir.
Ia seterusnya mengurangkan risiko berlakunya kemalangan di negeri itu akibat jalan rosak membabitkan jalan persekutuan.
"Masa saya Menteri Kewangan dulu jalan negeri ni memang teruk, Jalan Persekutuan ini memang baik, sekarang jalan negeri dah elok dengan peruntukan marris kita bagi.
"Jalan Persekutuan di Pahang ada berlubang, bukan sahaja di Pahang di Shah Alam, luar daripada Petaling Jaya jadi saya dengar pandangan dia sebab itu saya tambah lagi peruntukan sehingga RM1 billion untuk memperbaiki jalan-jalan persekutuan untuk tindakan segera," katanya pada Majlis Amanat Perdana Menteri bersama Penjawat Awam Negeri Pahang, di Dewan Utama, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di sini.
Sementara itu Perdana Menteri turut memaklumkan, kerajaan Persekutuan akan terus memberikan keutamaan kepada keperluan rakyat di negeri Pahang.
Selaras dengan itu, Belanjawan 2023 telah memberi keutamaan kepada kerja membaik pulih dan menyelenggara sekolah daif sebanyak RM920 juta ringgit, klinik daif RM400 juta, dan kuarters kakitangan kerajaan sebanyak RM400 juta.
(Anwar Ibrahim)