KUALA TERENGGANU, 25 April- Polis Terengganu menahan tiga suspek yang disyaki terlibat dengan beberapa kes pemerasan menggunakan panggilan video (VC) lucah di negeri itu.
Ketua Polis Negeri, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, tangkapan menerusi Op Cantas VC itu membabitkan sepasang suami isteri berusia 27 dan 23 tahun di Sungai Petani, Kedah.
Tangkapan tersebut membawa kepada penahanan seorang lagi suspek lelaki berusia 39 tahun di Baling, Kedah pada Sabtu lalu.
"Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek mengaku terlibat dalam kes pemerasan video lucah dengan menggunakan beberapa akaun bank bagi tujuan transaksi wang oleh mangsa.
Modus operandi suspek adalah berkenalan dengan mangsa melalui aplikasi seperti Mi Chat dan mengajak mangsa membuat VC lucah dan sebaik panggilan ditamatkan, suspek terus mengugut mangsa dan menunjukkan video yang telah dirakam semasa VC," katanya pada sidang media di sini.
(Datuk Rohaimi menunjukkan gambar suspek terlibat kes pemerasan menggunakan VC lucah)
Beliau berkata di Terengganu, pihaknya menerima tiga laporan mangsa terbabit dan setiap mereka dikatakan diugut untuk melakukan beberapa transaksi wang tunai ke akaun bank suspek bagi memastikan video lucah mereka tidak disebarkan di laman sosial.
"Jumlah transaksi tidak sama, ada yang sekali masukkan hanya RM30, esoknya suspek minta lagi dan ada yang sudah lakukan transaksi hingga RM2,000," katanya yang memaklumkan semua mangsa adalah lelaki termasuk ada yang bekerja dalam sektor awam.
Rohaimi berkata sindiket pemerasan itu dipercayai mula beroperasi tahun ini dan semua laporan yang diterima di negeri itu melibatkan kejadian sepanjang April sahaja.
Beliau percaya masih ramai mangsa terlibat enggan membuat laporan kerana ia melibatkan maruah pengadu.