fb fb fb fb fb

Dua lelaki ditahan disyaki seleweng minyak

PADANG TERAP, 5 Februari - Dua lelaki termasuk seorang warga asing ditahan disyaki menyimpan barang kawalan iaitu minyak diesel di dalam tangki tambahan kenderaan yang dinaiki mereka, disyaki untuk diseleweng.

Kedua-dua lelaki berkenaan ditahan Kompeni D, Batalion 1 Kawalan Keselamatan Sempadan Pasukan Gerakan Am (PGA), Kota Putra di Durian Burung, di sini malam tadi.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 10.00 malam selepas PGA menahan dua kenderaan dalam keadaan mencurigakan.

Kedua-dua buah kenderaan berkenaan telah diserahkan kepada KPDN dan disita bagi siasatan lanjut.

Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM10,430.

Lelaki tempatan berusia 35 tahun dan lelaki warga Thailand berusia 33 tahun masing-masing direman selama tiga dan empat hari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

(Kenderaan yang ditahan kerana disyaki mengandungi
minyak diesel di dalam tangki tambahan kenderaan)

Tegas Affendi, KPDN serius dalam membanteras isu penyelewengan barang kawalan bersubsidi seperti minyak diesel yang diberikan kerajaan.

Tujuan pemberian subsidi untuk mengimbangi kos sara hidup rakyat dan bukannya untuk diselewengkan, seterusnya menafikan hak rakyat yang sepatutnya menikmati subsidi ini.

Pada masa sama orang ramai diharap dapat menyalurkan maklumat kepada pejabat KPDN dengan menyalurkan sebarang kegiatan yang mencurigakan.

Media Baharu